Salam Ramadhan Al-Mubarak Buat Mereka Yang Beriman..
10:19 PM | Author: IsLaM uNiTe
Ramadhan Al-Mubarak

Riuhsepi dingin dinihari
Kumamah kalimah mengharap redha Illahi
Sepajang hari meletakkan zahiri dan batini
Di atas waras iman dijelajahi
~~~~~~~
Kujelajahi kegelisahan yang dahaga
Letih meniti hari mengutuh peribadi
Tangkas menepis serangan sendiri
Musuh dan lawan mengharum suci
~~~~~~~
Ketika siap berbuka
Kemenangan pula dahagakan cabaran lain
Tarawih dan witir menjelmakan insan fakir
Khusyuk patuh tunduk ke langit
~~~~~~~
Ramadan almubarak
Semarak kasih Illahi tak kemarau
Gemuruh iman menakluk cahaya pedoman
Hari-hari melayari kehidupan.

Dpd: HASYUDA ABADI


Pengkaderan islam merupakan salah satu proses dakwah yang dilaksanakan untuk mencari para pelapis atau mata rantai yang terdiri daripada individu atau segolongan muslim bagi meneruskan perjuangan dakwah (menyeru manusia) kepada Allah menggantikan tugas para rasul dan para anbiya’. Tugas pengkaderan ini sangat mulia disisi Allah dan agenda ini turut dilaksanakan oleh para nabi dan rasul terdahulu untuk mendirikan islam dan mentadbir dunia dengan islam. Tambahan pula, tugas pengkaderan ini bukan sahaja berdakwah untuk mengislahkan manusia kejalan Allah, bahkan ia merupakan tugas melatih dan membentuk manusia untuk sentiasa ikhlas dan istiqamah melaksanakan gerak kerja dakwah dimuka bumi ini.

Dewasa kini, pengkaderan menjadi antara visi dan agenda terpenting dalam membentuk sebuah khilafah islamiyyah untuk akan datang. Pengkaderan islam mestilah disandarkan dengan tarbiah islam yang menundukkan manusia untuk sentiasa merasa ubudiyyah kepada Allah. Permasalah dunia kini yang mengundang kepada dakwah dan method pengkaderan yang lebih berkesan mestilah di rencanakan dengan sebaiknya agar maslahah ummat manusia terjamin untuk tidak kekal sesat dijalan taghut yang dilaknat oleh Allah swt.

Perbezaan antara dakwah dengan pengkaderan

Dakwah itu adalah amalan dan usaha yang paling mulia setelah beriman kepada Allah dan beriltizam dengan manhajNya yang lurus. Buah dakwah menunjuki manusia kepada al-hak, membawa mereka kepada kebenaran, menjadikan mereka mencintai kebaikan, menjauhkan mereka dari kejahatan dan kebatilan dan mengeluarkan mereka dari kegelapan cahaya.

Firman Allah swt:
“siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?” surah Fussilat:33

Da’wah kepada Allah swt ertinya menyeru manusia kepada Allah, mengajak mereka mengikuti hidayah Allah, menjadikan manhajNya sebagai hakim di muka bumi, bertauhid kepada Allah, hanya kepadaNya kita beribadat dan memberikan taat setia.

Firman Allah swt:
“dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung” Surah Ali ‘Imran: 104

Pengkaderan adalah implimentasi dakwah itu sendiri dalam kehidupan seseorang da’ie. Pengkaderan juga merupakan satu proses dakwah yang direncanakan oleh umat manusia yang meliputi aspek pengurusan orgnasisasi, gerak kerja yang tersusun dan berterusan, proses dakwah kepada manusia yang panjang dan latihan (tamrin) yang konsisten mengikut marhalah yang digariskan ikhwanul muslimin (ta’rif, takwin dan tanfidz). Semua elemen ini di aplikasikan dalam kerja-kerja pengkaderan. Tugas ini dibentuk hanya untuk melahirkan dan mengkaderkan ahli yang berkualiti dan mampu berintima’ dengan kerja islam tanpa sebarang masalah yang mendatangkan mudharat pada organisasi dakwah tersebut.

Kualiti bukan Kuantiti

Dalam pengkaderan islam, ada beberapa perkara yang perlu dipandang serius terutamanya dalam memilih bakal penggerak islam untuk akan datang. Pada awal dakwah Rasulullah saw, baginda mengkader beberapa individu awal memeluk islam dikalangan kaum keluarga baginda sebagai langkah pertama untuk permulaan dakwah baginda. Selepas kaderasasi berlangsung, Allah swt sendiri menyediakan tarbiah dan tamrin (latihan) yang dilalui oleh baginda dan yang bersamanya untuk mereka betul-betul berada dalam landasan agamaNya. Walaupun ujian datang menimpa, pentarbiahan dari aspek akidah ditekankan oleh baginda sendiri sehingga melahirkan mereka yang sanggup berjuang dan sanggup mati didalam syahid (mentauhidkan Allah).

Pada kali ini, secara tabii gerakan islam / gerakan dakwah akan berusaha untuk meningkatkan saf dan memperbanyakkan anggotanya melalui berbagai jalan dan cara yang diterima syarak. Tetapi keadaan ini tidak seharusnya mendorong jamaah mengumpul anggota mengikut yang terjumpanya sahaja, kerana kualiti itu lebih penting daripada kuantiti. Boleh jadi dakwah mengorbankan tenaga yang banyak untuk mendapatkan seseorang. Boleh jadi individu itu yang tidak berkualiti merupakan satu ummat yang menjadi beban yang tidak membawa faedah malah boleh membawa bahaya. Firman Allah swt:

“dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manafaat kepada kamu sedikit pun dan bumi yang luas itu telah terasa sempit oleh kamu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-cerai” surah attaubah: 25

Bilangan yang banyak bukanlah keutamaan, tetapi yang diutamakan ialah orang-orang yang mengenal Allah, tetap pendirian dan berserah bulat memperjuangkan kebenaran.

Mementingkan penyusunan dan perencanaan yang rapi

Sebelum proses pengkaderan ini berlangsung, tugas individu atau organisasi islam perlu mempersiapkan diri dan jentera mereka dengan pelbagai bentuk persiapan seperti gerak kerja jangka masa pendek dan panjang, memiliki ilmu islam @ thaqafah yang mantap, dan lain-lain lagi. Ini menjadi titik tolak kepada sesebuah organisasi untuk lebih effisyen dalam berdakwah disebabkan oleh pengurusan yang mantap. Saidina Ali pernah berkata; kejahilan yang tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Tambahan pula, Mad'u kita zaman kini mengharapkan satu qudwah hasanah daripada para pendakwah untuk dicontohi, malah organisasi yang berkredabiliti, optimis dan strategis mampu menggetarkan pihak musuh sekaligus mengakibatkan mereka lumpuh untuk menyekat agenda dakwah islam disesuatu tempat.

Firman Allah:
“tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (kemedan perang). Mengapa tidak pergi tiap-tiap golongan antara mereka beberap orang untuk memperdalamkan pengetahuan mereka tentang ad-din dan untuk memberi peringatan kepada kaum mereka apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu menjaga dirinya” surah at-taubah: 122

Antara persiapan yang perlu dikuasai oleh para penggerak islam:
  1. Ilmu yang mantap
  2. Mampu memberi qudwah kepada mad'u.
  3. Tidak bersifat retorik dan sering kehadapan dalam setiap gerak kerja.
  4. Memahami tugas-tugas dakwah disamping tidak mengabaikan tanggungjawab kepada Allah.
  5. Mampu membahagikan masa untuk tugas pengkaderan walaupun tugas ini memerlukan jangka masa yang panjang.
  6. Sentiasa sistematik, optimis, professionalism dan istiqamah dalam melaksanakan kerja dakwah yang diberikan oleh pimpinan dalam sesebuah organisasi.

Dalam sirah Rasulullah saw, sudut perencanaan ini bukan hanya tertumpu dalam strategi-strategi peperangan sahaja. Malahan pada peringkat awal di Makkah lagi penyusunan yang rapi dalam bidang tanzim telah dilakukan oleh Rasulullah saw. Contohnya, sebelum melancarkan da’wah terbuka, Rasulullah saw telah terlebih dahulu menyusun pentarbiahan para sahabat selama 40 bulan di Darul Arqam. Selepas itu, Rasulullah menyusun pula sebilangan sahabatnya untuk melaksanakan hijrah ke Habsyah. Perencanaan yang rapi sebelum Rasulullah saw berhijrah dan menubuhkan daulah Islam di Madinah juga menunjukkan kepada kita betapa pentingnya penyusunan yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Dengan adanya pelbagai penyusunan yang rapi dan tertumpu, ahli yang menggerakkan pengkaderan akan mendapat gambaran atau view yang jelas dalam melaksanakan pengkaderan dengan lebih berkesan.

Telatah Di Bulan Ramadhan..
11:48 AM | Author: IsLaM uNiTe
Alhamdulillah.. Sekian lama diri dibelenggu masalah untuk menulis... akhir nya dapat juga menulis sedikit pengalaman berhubung telatah dibulan ramadhan kali ini. Selepas beberapa hari berpuasa, ana lihat ramai umat islam mula bepusu-pusu mengejar pahala ibadah yang dijanjikan Allah dengan melaksanakan ibadah tarawikh secara berjamaah, membaca Al-Quran siang dan malam dan bersedekah dengan lebih kerap tanpa mengharapkan sedikit pun perhatian dan balasan daripada orang lain. Ini merupakan satu petanda yang cukup baik selaku umat akhir zaman yang sentiasa diuji dengan pelbagai bentuk mehnah dan tribulasi dalam menunaikan ibadah puasa ini. Tambahan pula, yang paling menggembirakan ana adalah ramai anak-anak muda mula mendekati masjid sebagai tempat mereka berjumpa untuk berbuka puasa sama-sama dan melaksanakan tadarus Al-Quran secara konsisten tanpa dipaksa.

Mengingat hadis nabi berhubung ganjaran di bulan ramadhan iaitu pahala yang berlipat kali ganda setiap kali melaksanakan ibadah kepada Allah, terbukanya pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan lain-lain lagi hadis nabi yang menyentuh fadhilat dibulan ramadhan ini membuatkan diri terkenang @ muhasabah sebentar tentang peranan dan tanggungjawab muslim yang sebenar dalam menunaikan ibadah puasa ini. Bila kita lihat cara kita beribadah kepada Allah, adakah kita pernah terpikir yang ibadah kita ini diterima oleh Allah swt? dan adakah kita pernah terpikir apa yang dikehendaki Allah berhubung perlaksanaan ibadah yang sebetulnya kepadaNya? persoalan ini yang menjadikan diri ana terkaku sebentar. Gagal sungguh kita menghayati tuntutan yang sebenar Pencipta kita yang sentiasa menjaga kita daripada kekurangan dan kejahilan. Pada pendapat ana sendiri, selaku umat islam yang perihatin, nak tak nak kita kene cari apa yang dikehendaki Allah sebenarnya.

Mula membuka buku panduan solat:

Ana melihat dan mengkaji semula tulisan dan makna yang selalu kita baca dalam solat. Walaupun diri ini sudah pun mengahaflnya dengan baik, tetapi beberapa kekurangan yang terdapat bila dirujuk semula buku-buku agama ini. antaranya:
  1. Wudu' dan niat yang sempurna - selaku umat islam, pembersihan terhadap diri daripada hadas perlu dilakukan dan niat semasa menunaikan solat mestilah cukup syarat.

  2. Penghayatan setiap maksud ayat yang dibaca - Pemujian terhadap kekuasaan Allah dan sifatNya yang Maha Hebat dan Bijaksana. Merendahkan diri serenda-rendahnya terhadap kejadian ciptaan manusia yang hidup dan matinya hanya kerana Allah.

  3. Pergerakan yang betul dan mengikut sunnah Rasulullah saw - setiap pergerakan yang kita lakukan memberi impak kepada hubungan kita kepada Allah. sebaiknya pergerakan dalam solat dilaksanakan dengan betul tanpa lengah dan malas.

  4. Doa - Doa senjata umat islam, oleh yang demikian, kekuatan hubungan kita dengan Allah adalah doa. Tidak kira semasa sujud atau diluar kerangka solat.

Menghadiri diri dalam melaksanakan tarbiah islam (didikan islam) dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan:

Menjadi insan yang terbaik dalam setiap perilaku amatlah dituntut dalam islam. Antaranya yang seharusnya ada dalam memahami didikan islam didalam diri, keluarga dan masyarakat.

  1. Keperluan memahami elemen dalam pelajari ilmu islam (tarbiah islam)
  • Tauhidullah - menerapkan unsur rabbaniah yang meliputi aspek kekuasaan Allah dan wahyu yang diturunkan dalam Al-Quran itu sendiri.
  • Nubuwwah - Memahami sirah perjuangan Rasulullah saw dan hadis-hadis baginda.
  • Al-hasyr wal Jaza' - Mengingatkan manusia berhubung hari pembalasan dan hari perhitungan iaitu hari kiamat.

2. Keperluan dan penghayatan Tarbiah sehingga mencakup 10 muwassaf tarbiah

  • Aqidah yang sejahtera
  • ibadah yang Soheh
  • Akhlak yang mantap
  • Luas pengetahuan
  • Sihat tubuh badan
  • Mampu Berdikari
  • Melawan nafsu
  • Sangat menjaga masa
  • tersusun urusannya
  • Bermanafaat dengan orang lain.

Begitulah beberapa perkongsian yang perlu diterapkan untuk kita sentiasa diterima Allah swt. Allah tidak memandang pada susuk tubuh kita dan harta kita, malah Allah memandang tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya. Semoga bulan ramadhan ini memberikan kita impak untuk kita terus lahir menjadi muslim yang soleh dan solehah kepada Allah swt.

TaZkIrAH :

Allah Ta'ala berfirman:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, supaya hati mereka itu khusyu' untuk mengingat-ingat kepada Allah dan kebenaran yang turun kepada mereka itu - yakni al-Quran. Janganlah mereka itu berkeadaan yang serupa dengan orang-orang yang telah diberi kitab-kitab pada masa dahulu - sebelum mereka, tetapi mereka telah melalui masa yang panjang, kemudian menjadi keraslah hati mereka tersebut - yakni enggan menerima kebenaran." (al-Hadid: 16)