Fikrah: Umat Islam Kini - Satu Pengamatan
4:06 AM | Author: IsLaM uNiTe

Ummat Islam mengikut taarif Allah S.W T adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan di antara ummat manusia kerana mereka sentiasa berj i had menegakkan Al-Maaruf dan di waktu yang sama juga mereka mencegah yang mungkar.

Mereka adalah contoh yang terbaik dan pilihan kerana mereka yakin akan wujudnya Allah S.W.T dan percaya sepenuhnya kepada janji-janji Allah, mereka beriman kepada Allah S.W.T dan iman itu ditunjukkan dengan taat dan takwa kepada Allah S.W.T pada setiap saat dalam kehidupan mereka, mahupun apabila mereka sesama mereka ataupun mereka keseorangan diri.

Mereka sedar bahawa belumlah betul-betul dinamai Iman jika belum mendorong orangnya untuk bekerja keras, menerus dengan kerja-kerja Islam (Amal Islami) dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada orang lain belum lagi merasai kemanisan dan menikmati cara hidup Islam.

Sesungguhnya tepatlah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Iman itu bukanlah angan-angan dan bukan pula perhiasan tetapi Iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan.”
Itulah ummat yang terdahulu yang mendapat didikan Iman dari Madrasah Rasulullah S.A.W yang mana sumber didikan mereka hanya sanya Al-Quran, menilai Rabbani yang sentiasa mendidik dan membetuli mereka dan setiap aktiviti mereka di dalam kehidupan samada dalam bentuk fikiran, tindakan dan amalan.

Di sana masih ada perbezaan yang jauh antara ummat Islam kini dan jenerasi Al-Quran yang pertama dahulu yang mana di dalam jiwa mereka terdapat Iman yang bergelora, menyala, cermat dan waspada.
Sebaliknya Ummat Islam kini mereka mempunyai Iman yang bisu, mandul, tidur nyenyak dalam jiwa dan mereka tidak mematuhi hukum dan tuntutan Iman itu sendiri.

KEADAAN DAN MASALAH YANG SAMA


Sesungguhnya segala keadaan dan corak hidup yang ada di seluruh dunia Islam pada hari ini adalah sama saja. Keadaan Ummat Islam yang sebenarnya telah menyerah kalah kepada pemikiran-pemikiran dan cara hidup yang menggunakan akal fikiran sebagai inti wahyu Illahi. Tiada penafian dalam hal ini kerana masyarakat Islam telah begitu lama dijajah (tanah air dan fikiran) telah jauh dari hakikat hidup dari kacamata Islam. Perhambaan diri mereka tidak hanya sanya pada Allah S.W.T semata-mata sedangkan mereka mengucap dua kalimah Syahadah, mengerjakan sembahyang, berpuasa, mengeluarkan Zakat dan menunaikan Haji di Baitullah.

Apabila kita meninjau ke seluruh pelusuk alam ini, nescaya kita dapat melihat keadaan sebenar Ummat Islam pada hari ini. Ratusan ummat-ummat Islam tidak lagi digeruni oleh musuh-musuh mereka, malah ummat Islam dipermain-mainkan sesuka hati oleh angkatan Jahiliah yang diketuai oleh Syaitan, ummat Islam seolah-olah dibius, jiwa mereka rendah, peribadi mereka juga rendah serta natijah mereka juga dipandang rendah. Kemanakah hilangnya tradisi kegemilangan, kekuatan Islam yang pada satu ketika dulu tradisi telah dapat menarik penganut-penganut cara hidup yang bukan Islam kepada cara hidup Islam.

Wujudnya situasi yang sebegini rupa adalah kerana ummat Islam sendiri telah jahil akan tujuan sebenarnya Islam itu diturunkan kepada seluruh ummat manusia. Ummat Islam kini tidak tahu menghargai Pimpinan Illahi dan merasa rendah dikira apabila menyebut Islam. Ummat Islam pada hari ini tidak boleh lagi dipanggil sebagai ummat Islam, Islam itu tetap ada tetapi ummatnya adalah umpama jasad tanpa nyawa, sebenarnya mereka juga sendiri daripada angkatan jahiliah kerana:

1) Tidak beriman sebenarnya dengan Allah S.W.T

Nampak jahiliah itu dalam bermacam-macam keadaan, tindakan dan aktiviti. Mereka tidak menyerah semua urusan hidup mereka kepada Allah S.W.T. Iman yang sebenarnya ialah dengan menjadikan hanya Allah sahaja sebagai Illah. Perintah dan undang-undang Allah sahaja yang diterima dan dipatuh. Jika tidak, maka uluhiyyatillah kita masih tidak sempurna.

2) Mengikut Hawa Nafsu

Jahiliah dengan hawa nafsu adalah seiringan.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Jaatsiyah (45) ayat 18 yang bermaksud:
“Kemudian kami jadikan kamu berada di atas Syariat (peraturan) dari urusan (Deen) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”
Sekiranya hawa nafsu menghukum walaupun pengikut syariat Allah S.W.T maka masih dikira jahiliah. Hakikat hawa nafsu menghukum ialah ianya berbeza mengikut keadaan dan masa.

3) Mengikut Thaghut

Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 257 yang bermaksud:
“Allah pelindung bagi orang-orang yang beriman,Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (Iman) .Dan orang-orang kafir pelindung-pelindung mereka ialah thaghut,yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.Mereka itu adalah penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya”

Dalam surah Annisa' (4) ayat 76 Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Orang -orang yang beriman berperang di jalan Allah dan Orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kuncu-kuncu syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

Orang-orang yang beriman kepada Allah berjuang dan berperang kerana Allah S.W.T, tetapi orang-orang Jahiliah berjuang bermati-matian untuk mengikut perintah thaghut.

SIFAT-SIFAT MEREKA YANG HIDUP UNTUK ISLAM

Berbeza dengan sifat-sifat yang tersebut di atas,sifat-sifat mereka yang hidup untuk Islam sepatutnya:

a) Benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam, Iman dan amal mereka yang selaras, tidak menyuruh orang berbuat baik tanpa dirinya sendiri berbuat baik dan tidak memperkatakan sesuatu yang tidak dilakukannya.

b) Mengutamakan kepentingan Islam walau di mana sahaja mereka berada. Musuh-musuh Islam tidak dapat meresap masuk dan mengganggu-gugat dengan apa cara sekalipun.

c) Merasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah. Tidak merasa lemah dan dukacita dengan mehnah dan fitnah yang berada di hadapan mereka.

d) sentiasa bekerja untuk Islam bersama-sama dengan Aktivis-aktivis (mujahid-mujahid) Islam yang lain dalam berdakwah kepada Allah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka sentiasa bersama Jamaah Ummah dan patuh kepada kehendak dan pimpinan Jamaah tersebut.
|
This entry was posted on 4:06 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments:

TaZkIrAH :

Allah Ta'ala berfirman:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, supaya hati mereka itu khusyu' untuk mengingat-ingat kepada Allah dan kebenaran yang turun kepada mereka itu - yakni al-Quran. Janganlah mereka itu berkeadaan yang serupa dengan orang-orang yang telah diberi kitab-kitab pada masa dahulu - sebelum mereka, tetapi mereka telah melalui masa yang panjang, kemudian menjadi keraslah hati mereka tersebut - yakni enggan menerima kebenaran." (al-Hadid: 16)